Tuesday 25 October 2011

TEKS UCAPAN PENGGULUNGAN Y.B. MENTERI DALAM NEGERI MENGGULUNG PERBAHASAN KE ATAS RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN 2012 DI DEWAN RAKYAT BERTARIKH 24 OKTOBER 2011

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini yang telah mengambil bahagian dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sebelum saya menjawab pertanyaan-pertanyaan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat tersebut, izinkan saya terlebih dahulu memanjatkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan khasnya Y.A.B. Perdana Menteri di atas keprihatinan beliau melalui peruntukan sejumlah RM 10, 672, 968, 900.00 (sepuluh bilion, enam ratus tujuh puluh dua juta, sembilan ratus enam puluh lapan ribu sembilan ratus ringgit) bagi peruntukan mengurus dan belanja pembangunan sepanjang tahun 2012.

Peruntukan ini adalah lebih tinggi sedikit berbanding peruntukan berjumlah RM10.363 bilion yang diperoleh pada tahun 2011. Insya-Allah, saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang di salurkan bagi  memberi impak yang maksimum kepada usaha memelihara keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara, yang menjadi teras utama Kementerian ini.

KDN juga percaya pendekatan berhemah dan inovatif yang dilaksanakan Kerajaan telah membuahkan hasil terutama dari segi penjimatan kos. Salah satu inisiatif yang melibatkan KDN adalah pelaksanaan Penjimatan Dalam Pelaksanaan Pengurusan Nilai Bagi Projek Rancangan Malaysia ke-10.

2.      Sepanjang tempoh dua tahun ini, KDN telah melaksanakan pendekatan kreatif dan inovatif bagi membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan berjimat cermat. Kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan merupakan sebuah program pemulihan di luar tembok penjara.

Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM45.7 juta ringgit bagi setiap program kerjasama ini. Sehingga kini, Program Pemulihan Pemasyarakatan telah dilaksanakan di 5 kem ATM di seluruh negara yang melibat 1,106 orang yang banduan.

3.      Pendekatan inovatif melalui kerjasama antara PDRM dan ATM juga digunakan bagi mengadakan program latihan asas kepolisan di kem-kem tentera. Melalui kerjasama ini, Kerajaan dapat mengatasi masalah kekurangan pusat latihan polis dan dapat menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat tanpa perlu membina pusat-pusat latihan polis yang baru. Langkah ini telah berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana, pembinaan sebuah pusat latihan polis yang baru memerlukan peruntukan berjumlah RM250 juta.


4.      Sukacita, saya menyatakan bahawa Kerajaan serius untuk melaksanakan NKRA. Kejayaan menurunkan indeks jenayah adalah satu usaha terancang dan bukan dilaksanakan secara ad-hoc atau berlaku secara kebetulan. KDN telah menubuhkan makmal NKRA Mengurangkan Jenayah pada penghujung 2009 melibatkan pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran. Sebanyak 55 inisiatif telah dikenalpasti untuk dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang turut merentasi Kementerian dan  Agensi.

KDN telah  mengenalpasti  4 negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang mempunyai kejadian  jenayah paling tinggi dan menyumbang kepada 72% kejadian jenayah pada tahun 2008. Seterusnya  50  kawasan di negeri-negeri  tersebut telah dikategorikan sebagai kawasan  hotspot dijadikan  sebagai  tumpuan  untuk melaksanakan inisiatif mengurangkan  jenayah oleh PDRM.

5.      Melalui inisiatif NKRA, Kerajaan telah melaksanakan program omnipresence di kawasan hot spot empat negeri tersebut. Seramai 3,781 orang anggota RELA terlibat dan dilantik sebagai sukarelawan polis. Program omnipresence telah dikembangkan ke Sabah dan Sarawak mulai awal bulan ini di mana 184 anggota RELA telah bertugas di lima balai polis di Sabah dan 636 anggota RELA lagi bertugas di enam balai polis di Sarawak. Jumlah keseluruhan anggota RELA tersebut dalam program ini adalah seramai 4,601 orang.

Bagi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) seramai 1,540 anggota terlibat di 4 buah negeri tersebut dan seramai 144 orang lagi terlibat di Sabah manakala di Sarawak seramai 103 orang anggota terlibat di bawah program ini.

6.      Hakikatnya, pencapaian kita adalah jauh lebih baik dari apa yang disasarkan. Misalnya bagi Jenayah Indeks, walaupun sasaran yang ditetapkan adalah penurunan sebanyak 5% jenayah indeks berbanding tahun 2009, tetapi statistik menunjukkan, sehingga Oktober tahun ini, kadar jenayah telah berjaya dikurangkan sebanyak 24.2% iaitu melebihi 19.2% daripada sasaran asal yang ditetapkan.

Bagi kes Jenayah Jalanan, Kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak 15% penurunan, tetapi sehingga bulan Julai tahun ini, Jenayah Jalanan telah berjaya dikurangkan sebanyak 40.7%, iaitu lebihan penurunan sebanyak 25.7% dari sasaran asal.

HAL EHWAL POLIS DIRAJA MALAYSIA

Tuan Yang Di-Pertua,

7.      Menyentuh tentang keldai dadah, iaitu salah satu jenayah merentasi sempadan yang menjadi perhatian KDN ketika ini. Prosedur siasatan yang sama digunakan bagi kes-kes ‘keldai dadah’ dan kes-kes pengedaran dadah yang lain yang ditangkap, mereka akan disiasat dan dituduh di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan Yang Mulia ini, terdapat dua kategori rakyat tempatan yang ditahan kerana mengedar dadah di luar negara iaitu golongan sindiket pengedaran dadah tempatan yang beroperasi di luar negara dan juga golongan keldai dadah yang diperalatkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Bagi sindiket pengedaran dadah tempatan, keuntungan yang tinggi adalah faktor utama menyebabkan mereka berani mengedar dadah ke luar negara manakala bagi keldai dadah pula, kebanyakannya diperdaya oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
 
8.     Untuk menjawap dakwaan bahawa pihak polis terlibat di dalam politik ekoran terdapatnya satu surat arahan pentadbiran. Saya ingin menyampaikan pendirian PDRM yang menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dakwaan Polis telah dipolitikkan dalam isu kes Mohamad Sabu.

Surat arahan pentadbiran tersebut dikeluarkan sebagai tanda bantahan terhadap fitnah yang dibuat oleh Mohamad Sabu. Seluruh warga PDRM berhak merasa marah sekiranya ada pihak mempertikai dan memperlekeh sumbangan mereka.
Dalam kes Mat Sabu ini, ia lebih berat kerana dia melabelkan anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis sebagai pegawai penjajah dan menafikan peranan mereka dalam kemerdekaan negara.

Dalam negara yang mengamalkan demokrasi adalah menjadi hak PDRM dan mana-mana organisasi yang lain mempertahankan maruah dan martabat sesuatu organisasi apabila dicemar dengan kenyataan yang tidak benar, lebih-lebih lagi apabila dakwaan Mohamad Sabu ini dilihat sebagai menjatuhkan maruah dan imej anggota polis dan pasukan PDRM.

HAL EHWAL IMIGRESEN / PEKERJA ASING

Tuan Yang di-Pertua,

9.  Mengenai isu kemasukan Orang Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memudahkan pergerakan keluar/masuk warganegara Malaysia dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak serta sebaliknya. Namun, untuk mempermudahkan pergerakan ini, persetujuan bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dengan Kementerian adalah diperlukan.

Perkara 9(3) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa khas kepada Sabah dan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai kedudukan istimewa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal sebarang undang-undang mengenai kebebasan rakyat untuk keluar masuk dan kebebasan untuk bermastautin di Sabah dan Sarawak. Perkara ini juga adalah persetujuan bersama dibawah Perkara 20 semasa pembentukan Malaysia 1963.

Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan sentiasa menghormati keistimewaan dan kuasa-kuasa khas yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

10.    Isu berkenaan Program 6P di Sabah. Program 6P merupakan salah satu inisiatif Kerajaan bagi memastikan pengurusan warga asing dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, merangkumi enam proses berkaitan PATI iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.

Atas permintaan Kerajaan Negeri Sabah hanya akan melaksanakan 5P iaitu tanpa Proses Pemutihan kerana proses pemutihan/regularisasi telah dilaksanakan beberapa kali di negeri berkenaan dengan kali terakhir pada tahun 2009.

Sehingga tarikh tamat Proses Pendaftaran Program 6P iaitu pada 31 Ogos 2011 seramai 2,320,034 orang PATI dan pekerja asing sah telah berdaftar melalui sistem biometrik. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,303,126 (56%) adalah PATI dan seramai 1,016,908 orang (44%) pula adalah pekerja asing yang sah. Bagi Pekerja Asing Sah, angka tersebut tidak termasuk Pembantu Rumah Asing, Pegawai Dagang, Peserta MM2H, Pelajar Asing dan Pemegang Kad UNHCR.
11.    Sehubungan perkara berkenaan kemasukan warganegara dari negara-negara Afrika, mereka ini dikawal melalui kawalan/tapisan oleh Kerajaan Malaysia dan Jabatan Imigresen dengan mewajibkan memiliki VISA yang dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara tersebut.

Tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen bersama agensi kerajaan yang lain terhadap warganegara ini dijalankan secara berkala. Sejumlah 1,960 orang dari berbagai warganegara telah ditangkap oleh Jabatan Imigresen dari Januari – September 2011 kerana kesalahan dibawah Akta Imigresen.

Tapisan khusus bagi warga Afrika dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mana pelajar-pelajar Afrika diwajibkan mengemukakan dokumen “ No Objection Certificate” (NOC) yang dikeluarkan oleh negara-negara berkenaan, bertujuan untuk memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak sahaja belajar di luar negeri.

KPT dan KPM telah membuat pemeriksaan secara berkala di IPTA,IPTS bagi memantau aktiviti pelajar-pelajar Negara Afrika yang berjumlah 19,000 orang bagi tempoh Januari-September 2011. KDN dan KPT serta Kementerian lain yang berkaitan sedang meneliti semula pengeluaran Pas Pelajar. Keputusan penelitian ini akan dimaklumkan kemudian.


HAL EHWAL PENDAFTARAN


Tuan Yang di-Pertua,

12.    Berkenaan dengan kerjasama di antara JPN dan SPR dalam usaha membersihkan data pemilih yang dibangkitkan, JPN sentiasa bekerjasama dengan semua agensi kerajaan mengikut keperluan agensi tersebut seperti SPR kerana JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab menyimpan dan menyenggara semua maklumat dan data kependudukan negara. KDN komited dan sentiasa bekerjasama dengan SPR dalam usaha mengemaskini senarai nama daftar pemilih tersebut.

Merujuk kepada kerjasama tersebut ianya telahpun wujud sejak sekian lama melalui perkongsian maklumat dan pengesahan data yang berkait dengan data pemilih. Selain daripada itu juga, perbincangan, mesyuarat dan dialog turut diadakan dari semasa ke semasa menurut keperluan.

KDN dalam hal ini akan memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang dijadual bermesyuarat pada 2 November ini. Isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan secara terperinci dalam mesyuarat tersebut. Segala isu-isu berkenaan pemberiaan kewarganegaraan akan kita perjelaskan di dalam JPK tersebut nanti.

Suka saya menyatakan bahawa KDN turut ingin melihat daftar pemilih yang bersih.

13.    Bagi menjawab soalan tambahan mengenai isu rakyat Bangladesh dan Indonesia yang didakwa dibawa ke Putrajaya untuk diberikan kewarganegaraan dan didaftar sebagai pemilih baru-baru ini, ingin saya tegaskan bahawa isu sebegini bukan pertama kali dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

Sebelum ini, isu pemberian kerakyatan kepada warga Bangladesh untuk tujuan dijadikan pengundi pernah dibangkitkan. Penjelasan telah diberikan berserta fakta dan data bagi menjawab dakwaan tersebut. Berdasarkan fakta berkenaan, hanya 37 rakyat Bangladesh yang telah diberikan sijil kerakyatan negara ini sejak 1998 sehingga Ogos 2011 di mana daripada jumlah tersebut hanya 14 orang didapati layak mengundi dan seterusnya hanya 7 orang sahaja yang telah mendaftar sebagai pengundi. Tetapi pihak pembangkang kemudiannya mengalih atau mengubah tiang gol mereka kepada isu-isu lain pula selepas KDN memperjelaskan perkara tersebut.

Sekarang ini satu lagi isu pula telah ditimbulkan. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, segala isu-isu berhubungkait dengan pemberiaan kerakyatan negara ini kepada warga asing akan kita perjelaskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) itu nanti. KDN akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada JPK dengan memberikan penjelasan secara terperinci dalam mesyuarat tersebut. Pihak KDN tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

14.    Berkenaan dengan masalah PATI di Sabah sebagaimana yang dibangkitkan, KDN sentiasa komited dalam melaksanakan usaha mendokumentasi penduduk Malaysia termasuklah masalah kanak-kanak yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan (stateless).

Di antara pendekatan yang telah dan sedang diambil oleh Kementerian ini ialah Program Pendaftaran Bergerak termasuklah di daerah Tawau. Bagi meningkatkan keberkesanan program ini, UKB Semporna telah diwujudkan pada 3 Mei 2010 untuk membantu urusan mendokumentasi penduduk di Bahagian Pantai Timur Sabah.

Jabatan Pendaftaran Negara juga membuka kaunter-kaunter di Ibu Pejabat dan semua cawangan negeri pada hari Sabtu dan Ahad untuk semua jenis urus niaga termasuk di Tawau, Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.

15.    Bagi isu pemberian taraf warganegara sebagaimana yang dibangkitkan, Kerajaan tidak sewenang-wenangnya menganugerahan taraf kewarganegaraan Malaysia kepada warga asing. Penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah berdasarkan kepada permohonan dan ianya merupakan anugerah tertinggi dari Kerajaan Malaysia.

Setiap permohonan adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang semasa iaitu Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan. Permohonan yang teratur, lengkap dan berkelayakan  sahaja yang akan diproses. Oleh yang demikian, permohonan taraf kewarganegaraan di kalangan  warga Indonesia mahupun warga Filipina juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang tersebut.
Bagi pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing sebagaimana dibangkitkan,Jumlah warga asing yang dianugerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia sejak tahun 2007 hingga Ogos 2011 adalah 27,719. Peningkatan ini disebabkan oleh jumlah permohonan yang meningkat diterima daripada mereka yang telah lama bermastautin di Malaysia. Sebahagiannya juga mempunyai ramai ahli keluarga yang bertaraf warganegara Malaysia.

Selain itu, taskforce yang diwujudkan pada tahun 2009 yang bertujuan untuk menyelesaikan semua permohonan taraf kewarganegaraan yang tertunggak sejak tahun 1997 juga turut menyumbang kepada peningkatan jumlah mereka yang dianugerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia pada tempoh tersebut.

HAL-HAL LAIN

Tuan Yang di-Pertua,

16.    Berkenaan dengan isu perhimpunan haram BERSIH pada 9 Julai lalu, yang utamanya, BERSIH telah diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Kos operasi keseluruhan yang dibelanjakan oleh PDRM bagi menangani Perhimpunan BERSIH pada 9 Julai lalu adalah sebanyak RM 2,018,850.06. Perbelanjaan ini adalah meliputi perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik yang lain.

Kerajaan amat prihatin terhadap suara rakyat yang inginkan kebebasan untuk berhimpun dan bersuara. Walau bagaimanapun, kebebasan ini perlu diseimbangkan dengan kewajipan Kerajaan untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

Penyalahgunaan kebebasan bersuara dan berhimpun seperti mengadakan demontrasi jalanan sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam masyarakat dan boleh menggugat keselamatan negara seharusnya dielakkan. Dalam masa yang sama, kerajaan mengambil inisiatif untuk meneliti beberapa perundangan negara-negara lain yang berkaitan dengan sebarang bentuk perhimpunan di kawasan yang melibatkan keselamatan awam.

Langkah ini adalah sebahagian daripada proses-proses transformasi dan keterbukaan yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan sebagaimana yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri termasuk pindaan kepada Seksyen 27 bagi mengadakan perhimpunan awam di sesebuah kawasan tertutup seperti stadium.

Sebagai contoh Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan di Stadium Shah Alam baru-baru ini adalah lebih terkawal dan tidak menimbulkan sebarang gangguan atau kekecohan sehingga boleh menggugat ketenteraman awam berbanding demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh pihak Bersih di Kuala Lumpur sebelum ini.

Berkenaan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap mereka yang terlibat yang dibangkitkan, PDRM telah menjalankan siasatan ke atas mereka dan sebanyak 61 kertas siasatan telahpun dibuka dan telah dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

Setakat ini sahajalah penjelasan-penjelasan yang dapat saya berikan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan. 

Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan pertanyaan dan membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Kementerian akan mengambil perhatian dan tindakan ke atas perkara-perkara yang telah dibangkitkan. Saya memberi jaminan bahawa mana-mana pertanyaan yang tidak dapat dijawab oleh saya pada kali ini  akan diambil catitan untuk tindakan susulan.

Sekian, terima kasih.