Friday 30 September 2011

Tindakan Tepat Bijak

SEMBRONG - Pelancaran laman sosial ‘Facebook’ bagi Pusat Komuniti Sembrong oleh Ahli Parlimennya, Datuk Sri Hishammuddin Tun Hussien, baru-baru ini merupakan suatu tindakan tepat dan boleh mendekati generasi muda. 

Facebook Pusat Komuniti Sembrong tersebut dilancarkan sebagai saluran khusus untuk semua warga Sembrong berinteraksi dan mendapatkan maklumat program dan aktiviti di Sembrong. 

Sebelum pelancaran facebook Pusat Komuniti Sembrong, Hishammuddin juga telah melancarkan Facebook Gagasan Anak-Anak Sembrong di Perantauan (GAASP) empat bulan lalu, bagi membolehkan anak jati di Sembrong yang berada di perantauan berinteraksi, dan yang menariknya Facebook berkenaan menggunakan tiga bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Tamil dan Cina. 

Dalam pada itu, Adun Paloh, Hoo Seong Chang berkata, pelancaran Facebook tersebut merupakan satu trend baru yang perlu diikuti pemimpin bagi menarik minat golongan muda yang bekerja di luar kawasan Sembrong. 

“Maka, Datuk Sri (Hishamuddin) berasa melalui laman sosial Facebook dan dengan saluran tersebut penduduk serta pengundi Sembrong boleh dihubungi. 

“Cara yang digunakan ini ternyata berkesan kerana Hishammddin telah memanggil anak-anak Sembrong yang berada di perantauan untuk berjumpa di Kuala Lumpur dan ramai yang datang pada perjumpaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau berkata, maklumat yang disampaikan menerusi laman sosial berkenaan amat berkesan kerana laman sosial tersebut sangat popular dalam kalangan generasi masa kini. 

“Melalui saluran ini, mereka dapat berkomunikasi dan ia satu petanda baik untuk mendekati pengundi muda sama ada yang tinggal di Sembrong atau pun di luar kawasan,” katanya. 

Sementara itu, Adun Kahang, Vidyananthan Ramanadhan pula berkata, masalah tidak tahu menggunakan facebook sudah tidak lagi timbul. Ini kerana 90 peratus generasi masa kini sudah mengetahui apa itu Facebook. 

Menurutnya, pelancaran Facebook bagi Parlimen Sembrong ini merupakan satu tindakan yang amat dialu-alukan dan bijak serta ia bertempatan dengan masa kerana pada masa ini maklumat adalah sesuatu yang cukup penting untuk sampai ke akar umbi. 

“Jika kita lihat trend pada masa ini, rata-rata warga Sembrong tanpa mengira peringkat umur sebenarnya aktif dalam Facebook, malah saluran ini merupakan satu cara untuk sampaikan maklumat dengan cepat dan tepat terus ke akar umbi khususnya kepada masyarakat. 

“Walaupun maklumat yang disalurkan kepada mereka tidak secara langsung, tetapi mereka akan tahu khususnya bagi mereka yang berada di perantauan. 

”Mereka juga akan dapat mengetahui sebarang perancangan daripada wakil rakyat, parti-parti politik dan juga pemimpin setempat terutamanya yang membabitkan program-program kemasyarakatan serta informasi-informasi terbaru termasuk dari segi pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat,” katanya.



LAHIR GENERASI MUDA BERTEKNOLOGI

SEMBRONG- Warga Palimen Sembrong menerima baik pelancaran laman sosial Pusat Komuniti Sembrong kerana ia dapat memberikan maklumat kepada mereka-mereka tidak berada dalam kawasan Sembrong.

Menurut warga Taman Sri Lambak, Adnan Ibrahim,44, pelancaran Facebook yang baru dilancarkan itu merupakan sesuatu yang baik kerana boleh melahirkan generasi muda yang pandai mengunakan teknologi semasa.

“Facebook merupakan sesuatu yang bagus tetapi bagi generasi yang berumur sedikit mungkin ia perlu mempelajarinya dahulu kerana kemungkinan tidak ramai yang tahu menggunakan Facebook,tetapi pada masa kini semua peringkat masyarakat kebanyakannya sudah mula memiliki akaun Facebook sendiri.

“Dengan adanya laman sosial Facebook Parlimen Sembrong ini kita dapat berkongsi-kongsi pandangan dan pendapat antara rakan-rakan dalam Facebook Pusat Komuniti Sembrong berkenaan,” katanya.


PLATFORM PEROLEH MAKLUMAT

Bagi anak-anak Sembrong yang jauh di perantauan dan mahu mengikuti perkembangan semasa di kawasan Parlimen Sembrong, mereka boleh menjadi rakan di dalam social Facebook Pusat Komuniti Sembrong kerana ia dipenuhi dengan pelbagai maklumat dan aktiviti.

Walaupun baru sebulan lebih laman social Pusat Komuniti Sembrong itu beroperasi,ianya sudah mempunyai hampir 1,900 rakan dimana rata-rata rakan Pusat Komuniti tersebut adalah orang Parlimen Sembrong yang merangkumi Dun Kahang dan Dun Paloh.

Dalam pemerhatian Sinar Harian, dilihat Facebook Pusat Komuniti Sembrong ini banyak memaparkan maklumat terkini seperti aktiviti-aktiviti kemasyarakatan,program hari raya dan sebagainya untuk dimaklumkan kepada semua warga Sembrong.

Malah, pendapat dan cadangan juga ada diselitkan serta perbincangan berkaitan sesuatu isu yang berlaku pada masa ini juga ada dipaparkan di laman social pusat komuniti berkenaan.Contohnya berhubung isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan cadangan serta komen berkaitan pertandingan memancing dan sebagainya. Interaktif yang wujud ini begitu pisitif.

Bagi mereka yang berada di luar Sembrong ataupun berada di luar Johor,mereka boleh mengetahui dengan segera apa yang berlaku di kawasan Parlimen Sembrong kerana ia sentiasa dikemaskini dan maklumat-maklumat terkini akan sentiasa dipaparkan dalam laman social ini.

Laman social Pusat Komuniti Sembrong ini merupakan laman social yang bagus kerana dipenuhi dengan pelbagai maklumat,malah ia dapat merapatkan hubungan khususnya bagi warga Sembrong.